Search This Blog

Monday 10 December 2012



TENTANG BAHASA MALAYSIA

Bahasa Malaysia akan menjadi mudah sekiranya bahasa ini mempunyai kekonsistenan dari segi ketatabahasaannya. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga dengan bahasa Malaysia kerana bahasa kita sudah mempunyai sistem ketatabahasaannya yang tersendiri dan mengikut piawaian dan standard yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contohnya, sistem ejaan, sistem sebutan, sistem imbuhan, sistem penggunaan kata dan sistem binaan struktur frasa atau ayat.
 
Namun, sehingga ke hari ini masih terdapat pelbagai kekecualian dalam tatabahasa bahasa Malaysia. Sebagai contohnya, sistem ejaan yang perlu dieja terpisah atau dieja bersama-sama seperti contoh di bawah ini:
a.  ibu bapa atau ibubapa?
b. jawatan kuasa atau jawatankuasa?

Hal ini memberikan kekeliruan kepada pelajar bahasa Malaysia terutama pelajar antarabangsa dan orang yang bukan penutur natif bahasa Malaysia. Hal ini juga  telah menjadi isu bahasa yang tiada penghujungnya. Seterusnya, pengajar dan pelajar bahasa Malaysia sentiasa berada dalam dilema.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia khususnya  para pelajar harus mempelajari dan mendalami bahasa Malaysia agar pandai dan bijak berbahasa di khalayak ramai dengan betul. 


ASAL-USUL BAHASA MELAYU

Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal-usul penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal-usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur. Akan tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno.
Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara.
Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi

Kira-kira dalam tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan pedalaman. Justeru itu, Melayu-Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun bahasa Austronesia, rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-Cina.
Rumpun bahasa Austronesia ini pula terbahagi kepada empat kelompok yang lebih kecil :
1. Bahasa-bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara.
Contoh : bahasa Melayu, Aceh, Jawa, Sunda, Dayak, Tagalog, Solo, Roto, Sika dan lain-lain.
2. Bahasa-bahasa Polinesia
Contoh : bahasa Hawaii, Tonga, Maori, Haiti
3. Bahasa-bahasa Melanesia
Contoh : bahasa-bahasa di Kepulauan Fiji, Irian and Kepulaun Caledonia
 
Bahasa Melayu tergolong dalam cabang Bahasa-bahasa Nusantara yang mempunyai bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa.  Bentuk Bahasa Melayu yang dituturkan di Kepulauan Melayu pada zaman dahulu dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno dan jauh berbeza dengan Bahasa Melayu yang moden. Bentuk Bahasa Melayu Kuno hanya dapat dilihat melalui kesan tinggalan sejarah seperti batu-batu bersurat. Batu-batu bersurat yang menggunakan Bahasa Melayu dipercayai ditulis bermula pada akhir abad ke-7. Sebanyak empat batu bersurat telah dijumpai untuk membuktikan perkembangan sejarah bahasa Melayu.

 INDAHNYA BAHASA

Orang berbudi kita berbahasa

                Yang kurik kundi
                          yang merah saga
                yang baik budi
                          yang indah bahasa

                  Terbang burung dari selatan
                           Dipuput angin sangga bayu
                  Bukalah surat dari lipatan
                           Lihatlah pantun bahasa Melayu

                          Anak haruan lima-lima 
                                    Mati ditimpa punggur berdaun
                          Budi tuan kami terima
                                    Jadi kenangan bertahun-tahun


Arak-arak kelapa puan 
                  Tidak puan kelapa bali
Harap hati kepada tuan 
                  Tidak tuan siapa lagi

Putik pauh delima batu
                 Anak semilang di tapak tangan
Tuan jauh di negeri satu
                 Hilang di mata di hati jangan

Kiri jalan kanan pun jalan
                 Sama tengah pohon mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
                 Sama-sama menanggung rindu


                                                Kajang tuan kajang berlipat
                                                         Kajang saya mengkuang layu
                                                Dagang tuan dagang bertempat
                                                         Dagang saya terbuang lalu


                                                Kalau ada sumur di ladang
                                                          Boleh kita bersama mandi
                                                Kalau ada umur yang panjang
                                                          Boleh kita berjumpa lagi.



4 comments:

  1. Memang sesuatu pengetahuan baru untuk saya

    ReplyDelete
  2. Tahniah cikgu dapat menyiapkan sebuah blog yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk semua orang.

    ReplyDelete
  3. Banyak membantu saya untuk mencari maklumat tentang bahasa Melayu.

    ReplyDelete