Search This Blog

DASAR MBMMBI

MBMMBI atau Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkukuhkan Bahasa Inggeris adalah fokus utama bagi pendidikan bermula tahun 2012 ini. Pada tahun 2012 ini, MBMMBI akan dilaksanakan dengan lebih agresif di sekolah dan perkara utama yang menjadi teras kejayaan MBMMBI ialah Peranan Guru dalam Melaksanakan Dasar MBMMBI.

Peranan guru dalam melaksanakan dasar MBMMBI

Sebelum kita berbicara lebih lanjut mengenai Peranan Guru dalam Melaksanakan Dasar MBMMBI ini, apa kata kita lihat dahulu definisi MBMMBI ini.
Definisi MBMMBI atau Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.  

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.


Peranan Guru dalam Melaksanakan Dasar MBMMBI
  1. Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.
  2. Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.
  3. Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
  4. Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
  5. Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.
  6. Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.
  7. Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.
  8. Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.
  9. Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.
  10. Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.
  11. Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.

    DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

      DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS 
( MBMMBI  )

1.
Apakah itu Dasar MBMMBI?

Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.


2.
Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?

Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah. Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah  jenis kebngsaan Tamil.


3.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan  bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p,  transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan  serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.


4.
Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?

Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris.  Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


5.
Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.



2 comments: